NADENE NAK JADI MACAM MOMMY

By October 23, 2018 Women

Oktober adalah bulan yang paling sibuk bagi saya kerana anak sulung saya bakal menduduki SPM pada pertengahan November.

Bagi membolehkan saya fokus kepada Mel dan tugasan dalam my baby projek, anina.my, maka dua adiknya tinggal sementara di rumah abah dan mama mereka sejak minggu lalu hingga selesai SPM bulan depan.

Kami berjumpa hampir setiap hari ketika mereka pulang dari sekolah tetapi saya hanya keluar dengan Mya dan Nadene pada hari Ahad untuk makan bersama atau beli barangan mereka.

Mya dan Nadene akan melihat saya di instagram atas pengawasan abah dan mama mereka. (Bekas suami saya dan isterinya).

Nadene, 10 tahun adalah anak bongsu saya yang agak peka dengan perkembangan politik saya kerana sifat ingin tahu yang mungkin agak lebih dari kanak-kanak seusianya.

Walaupun posting yang boleh dibaca Nadene ditapis, beliau faham saya sedang berjuang dalam arena politik.

Nadene pernah bertanya kepada saya “kenapa tok wan Det ambil office Dato Seri Najib? Bukan ke tok wan Det dah ada office sendiri?” Nadene merujuk kepada pejabat YKP di mana dia berjumpa Tun M beberapa kali di sana sebelum ini.

Saya fikir Nadene merujuk kepada prinsip “jika awak mahu mainan saya, awak mesti minta kebenaran saya terlebih dahulu”.

Sebenarnya Nadene mungkin memahami politik lebih dari itu. Nadene pernah beritahu saya “dulu mommy sokong tok wan Det tapi hari ini mommy sokong Dato Seri Najib untuk bangsa Melayu”.

Sebenarnya saya ajar anak-ajar saya lima perkara selesai solat dengan mereka sejak bertahun lalu:
1. Apa agama awak?

2. Apa bangsa awak?

3. Apa nama negara awak?

4. Malaysia milik siapa?

5. Apa tanggungjawab awak untuk diri, agama, bangsa dan negara awak?

Mungkin anda menganggap saya cliche bercerita tentang bagaimana saya mendidik anak-anak saya. Sebenarnya saya bercerita perkara yang benar.

Jika suatu masa nanti anda berpeluang berjumpa mereka, anda boleh bertanya kan soalan-soalan tersebut kepada mereka.

Saya tidak mengajar mereka menjadi rasis. Mereka lihat bagaimana saya bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat malah mereka mengenali sahabat saya berbangsa Cina, India dan etnik Borneo.

Sebagai aktivis politik, penggerak NGO dan Pengerusi Persatuan Penduduk di kawasan residensi pelbagai bangsa, anak-anak saya melihat bagaimana saya membudayakan hidup harmoni antara pelbagai kaum.

Saya mengajar anak-anak saya bacaan dalam solat ketika memandu kereta. Saya juga mengajar mereka menghafaz 3 Qul dan Ayat Kursi juga ketika memandu.

Mereka akan ikuti bacaan saya dan dengan sendirinya mereka menghafaz tanpa disedari.

Perkongsian ini mungkin satu petua yang boleh anda turut ikuti jika sesuai. Sebagai ibu yang sibuk, begitu lah kaedah saya.

Saya tidak sempat mengajar mereka AlQuran sendiri dan kerana itu saya mengambil ustazah untuk datang ke rumah 2 kali seminggu untuk bantu melancarkan bacaan mereka dan ada masanya saya tumpang sekaki.

Begitu lah kehidupan saya sebagai single parent kepada 3 anak perempuan.

Mungkin kerana itu, saya tidak sempat untuk berfikir tentang diri sendiri tambahan saya perlu bekerja keras untuk memastikan saya mampu hantar Mel ke universiti tahun depan.

Saya perlu pastikan keperluan anak-anak saya cukup walaupun saya single parent.

Berbalik kepada cerita asal bagaimana saya terdetik untuk menulis tentang kisah parenting hari ini. Nadene kirimkan saya gambar kartun yang direka beliau melalui aplikasi di telefonnya.

Kartun itu berambut merah dan berkacamata bingkai hitam yang menyerupai saya. Cuma Nadene berambut panjang, tidak seperti saya.

Nadene pesan kepada saya “Nadene mahu jadi seperti mommy”.

Sebagai ibu, saya bangga kerana anak saya hargai saya. Tetapi jauh di  sudut hati, saya mahu Nadene memilih kerjaya di luar bidang politik.

Mungkin dalam bidang undang-undang kerana Nadene gemar “argue” tentang isu tertentu dengan saya. Mungkin itu untuk saya ceritakan dalam entry kemudian hari.

Saya akan cuba menulis tentang parenting di ruangan Wanita ini sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Saya tidak mengaplikasikan teori tetapi lebih kepada pengalaman empirikal dalam meniti kehidupan.

Tiada ibu yang sempurna 100 peratus. Itu mustahil. Namun, kita semua bertanggungjawab melakukan yang terbaik mengikut acuan pemikiran masing-masing.

Yang baik mungkin boleh dijadikan tauladan, yang buruk jadikan iktibar.

Semoga kita semua menjadi ibu bapa yang terbaik untuk anak-anak generasi masa depan.

Kepada Allah kita berserah.

Anina Saadudin

Leave a Reply