SYAITAN MENANGIS MELIHAT KESATUAN ISLAM DI MALAYSIA

By December 8, 2018 Editorials

Oleh Samad Hussein

AKHIRNYA penyatuan umat Islam dan Melayu tanpa mengira fahaman politik berlaku juga di tanah tumpah darah di bumi Semenanjung Tanah Melayu hari ini.

Berbaju putih sebagai simbol kesucian, berpuluh ribu umat Islam dari serata negara mula tiba di Kuala Lumpur awal pagi tadi dan buat sekian kalinya, jumlah jemaah yang menunaikan solat subuh di Masjid Negara Kuala Lumpur sama seperti jumlah jemaah solat Jumaat. Menggambarkan betapa ramainya yang hadir pada perhimpunan #DaulatHimpunan812 dan mereka semua tiba seawal subuh pagi tadi.

Dari kejauhan warna putih bagaikan aliran ombak dilihat umpama saujana mata memandang. Satu pemandangan yang membangkitkan perasaan sebak di sanubari tatkala melihat umat Islam di Malaysia ini bersatu.

Syaitan mungkin menangis kegusaran melihat umat Islam dan orang Melayu yang berpecah belah disebabkan oleh pelbagai fahaman politik sebelum ini, sebenarnya mampu berdiri sebelah menyebelah dalam satu saf yang lurus mengadap Ilahi.

Syaitan juga mungkin menangis dan meraung melihat barisan pemimpin Pas dan UMNO serta NGO-NGO Islam yang lain boleh bersatu dalam mempertahankan kesucian agama Islam daripada direnyuk dan dihina dengan sewenang-wenangnya di Malaysia.

#DaulatHimpunan812 hari ini bakal menjadi titik permulaan untuk umat Islam agar terus bersatu hati dalam segala tindakan demi masa depan agama di Malaysia.

Walaupun ada pihak yang melabelkan perhimpunan ini sebagai “supremacist” atau perkauman, pada hakikatnya mereka yang hadir dalam perhimpunan gergasi ini mahu membuktikan bahawa umat Islam tidak pernah tidur atau lena dalam mempertahankan kesucian agama mereka di Malaysia.

#DaulatHimpunan812 dirancang bagi membantah usaha sesetengah pihak terutama golongan liberal untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Mereka yang memakai baju putih hari ini ingin menzahirkan kebimbangan bahawa ICERD akan digunakan oleh golongan liberal untuk membenarkan perbuatan murtad berlaku di negara ini, sebuah negara berpelembagaan dan mengamalkan demokrasi. Mereka bimbang golongan liberal ini mahu menghalalkan perkahwinan sejenis di negara ini.

Lebih daripada itu, perhimpunan ini bakal menjadi mesej kepada pihak tertentu untuk sama sekali tidak lagi membangkitkan usaha untuk meratifikasikan ICERD.

Semoga kesatuan umat Islam di Malaysia terus kukuh. Mereka perlu insaf akan kejatuhan umat Islam di Andalusia, kejatuhan empayar Islam Uthmaniayah akibat kelalaian dalam mempertahankan agama.

Kisah sedih khafiah terakhir Andalusia, Abdillah Muhammad Al Amar masih segar dalam ingatan. Dia terpaksa keluar dari Andalusia sambil menangis tersedu-sedu.

Melihat dia menangis, ibunya berkata,”Menangislah seperti perempuan! Kerana kau tidak mampu menjaga kerajaanmu seperti laki-laki perkasa.”

Kejayaan atau kegagalan #DaulatHimpunan812 akan menentukan arah umat Islam dan Melayu di Malaysia.

Leave a Reply