LANGKAH SUMBANG AKAN TUMBANGKAN PH DI CAMERON HIGHLANDS

By January 12, 2019 Editorials

Calon PH, M. Manogaran

Oleh SAMAD HUSSEIN

Hari ini bermulalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dengan berlangsungnya Hari Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata.

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor, M. Manogaran serta dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee.

Pakatan Harapan sebenarnya telah memulakan dua langkah sumbang sebelum hari penamaan calon lagi.

Langkah sumbang pertama dilakukan oleh calonnya sendiri, M. Manogaran. Tiga hari lepas portal berita Malaysiakini membuat laporan bertajuk “Kuih Orang Asli pun Melayu tak beli, kata calon PH”

Menurut laporan itu, anggota DAP itu berkata,”Ikut perkiraan BN, mereka fikir… Mereka tak faham. Orang Melayu tak beli kuih dari gerai Orang Asli. Saya tak fikir mereka (orang Melayu) akan undi Orang Asli.

“Orang Melayu akan tanya: kenapa tak ada calon orang Melayu? Kenapa letak Orang Asli?’ Orang Cina, India juga tidak akan undi Orang Asli.”

Agak pelik pula Manogaran guna analogi ini. Kedengaran rasis. Siapa kata orang Melayu tak beli kuih dari Orang Asli. Siapa kata orang Melayu tak akan undi Orang Asli.

Mungkin menyedari implikasi negatif kenyataan beliau terhadap penggundi Melayu, sehari selepas itu beliau yang juga bekas calon DAP bagi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu memohon maaf.

“Saya memohon maaf kepada semua berhubung kenyataan saya. Saya sedari bahawa itu kesilapan besar dan saya tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Maaf sekali lagi dan saya menyesali tindakan saya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Kalaulah ayat sama dikeluarkan oleh calon Barisan Nasional dan perkataan Melayu itu pula diganti dengan kaum lain agaknya bagaimana hiruk pikuk cemuhan yang akan dilontarkan oleh ahli-ahli politik Pakatan Harapan terutama DAP?

Langkah sumbang kedua pula dilakukan oleh senator PKR, Bob Manolan Mohd pada sesi dialog dengan tok-tok Batin di kubu BN di Pos Betau, Jelai pagi semalam.

Malaysiakini mendedahkan Bob Manolan mengugut ketua-ketua kampung Orang Asli atau tok batin di Cameron Highlands mungkin kehilangan gaji dan jawatan mereka jika tidak mengundi kerajaan persekutuan pada pilihan raya kecil 26 Januari nanti.

“Batin ini memang dibayar oleh kerajaan pusat, maka itu Batin kena sokong Pakatan Harapan. Tak sokong kita buang.

“Mana-mana batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul? Jangan bayar gaji dia. Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia,” kata Bob Manolan.

Senator Bob Manolan Mohamad kemudiannnya menafikan beliau mengugut tok batin di Cameron Highlands.

Dalam kenyataannya, Bob Manolan berkata apa yang ingin disampaikannya ialah, ketua-ketua masyarakat Orang Asli itu tidak sepatutnya terlibat dengan Umno dan pada masa sama menerima elaun daripada kerajaan pusat.

“Dalam keseluruhan kenyataan saya, tidak pernah saya menyatakan amaran atau ugutan yang berbunyi tiada undi tiada bayaran, atau pun no vote, no pay,” katanya.

Bagaimanapun kenyataan Bob Manolan disanggah oleh portal itu dengan memberikan bukti berbentuk audio yang kemudiannya disiarkan dan jelas apa yang diungkapkan oleh Bob Manolan adalah seperti yang dilaporkan.

Beberapa tok batin yang ditemui selepas majlis itu turut menyatakan rasa marah dan kecewa dengan kenyataan Bob Manolan.

Adakah dua langkah sumbang PH, satu kenyataan berbau perkauman dan satu lagi kenyataan berbau ugutan ini akan menjadi faktor permulaan menumbangkan PH di Cameron Highlands?

Jumlah pemilih yang berdaftar bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah 32,105 orang terdiri daripada 10,752 ( 33.49 peratus) Melayu, 9,467 (29.49 peratus) Cina, 4,836 (15.06 peratus) India dan 7,050 (21.95 peratus) Orang Asli.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN pada PRU-14 selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, Manogran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS – 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa – 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM – 680 undi).

Leave a Reply