APA KHABAR MANOGARAN?

By February 11, 2019 Editorials

GAMBAR/GOOGLE

Oleh SAMAD HUSSEIN

Apa khabar agaknya calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran yang kalah di tangan calon Barisan Nasional, Ramli Mohd. Nor pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands 26 Januari lalu.

Kita tanya khabar beliau bukan apa, sudah hampir tiga minggu berlalu sejak pilihan raya itu berlangsung namun masih tidak kedengaran apa-apapun mengenai pendakwaan terhadap beliau.

Mungkin ada yang lupa apa kesalahan yang dibuat oleh Manogaran.

Bagi mereka yang tidak ingat, Manogaran telah memakai baju yang mempunyai logo Pakatan Harapan, logo parti yang bertanding pada pilihan raya itu ketika hadir di dalam pusat menggundi Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut.

Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan sesiapa yang memakai pakaian tercetak atau tertera nama calon atau nama, lambang atau simbol mana-mana parti politik, tidak boleh berada dalam jarak 50 meter dari sempadan mana-mana tempat mengundi dan dalam tempat mengundi.

Mereka juga tidak boleh memakai, memegang atau membawa apa-apa bentuk atau jenis pakaian, tutup kepala, barang hiasan, roset, botol air atau payung tercetak atau tertera nama calon atau nama, lambang atau simbol mana-mana parti politik.

Mengikut akta tersebut mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen apabila disabitkan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

Bunyinya memanglah macam remeh sangat. Pakai baju berlogo je pun bukan mendatangkan kecederaan kepada manusia lain.

Namun jika peraturan itu tidak dihormati malah dilanggar pula tidakkah ia memalukan malah menghina kesucian peraturan dan akta yang telah digubal di Parlimen.

Lagipun yang melanggar peraturan itu bukannya sebarangan orang, Manogran yang pernah menjadi calon pilihan raya mewakili DAP sebanyak EMPAT kali pilihan raya.

Beliau bertanding sekali di Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan menang di situ.

Kemudian dia berpindah dan bertanding di Parlimen Cameron Highlands sebanyak tiga kali berturut-turut dan kalah kesemuanya.

Menang atau kalah, Manogaran berpengalaman bertanding dalam pilihan raya dan sepatutnya dia arif mengenai peraturan-peraturan pilihan raya.

Manogaran telahpun memohon maaf pada hari kejadian.

Dia kata tidak perasan memakai baju yang mempunyai logo parti kerana baju itu telah dipakai sepanjang kempen berlangsung.

Biar apapun alasan yang diberi Manogaran, peraturan adalah peraturan. Undang-undang perlu ditegakkan. Jangan menghina undang-undang dan peraturan yang telah dibuat dan digubal di Parlimen.

Kita semua sedia maklum petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat laporan polis terhadap Manogaran di Balai Polis Sungai Koyan. Namun sehingga kini masih belum dengar apa-apa kertas pertuduhan terhadap Manogaran.

Penulis mengingatkan semula tentang Manogaran ini bukan apa. Tak lama lagi, cuma beberapa hari lagi kita akan ada pilihan raya kecil iaitu di DUN Semenyih. Penamaan calon pada 16 Februari dan hari mengundi pada 2 Mac.

Justeru kita berharaplah kepada pihak berkenaan terutama Jabatan Peguam Negara agar menyegerakan dakwaan terhadap Manogaran.

Pendakwaan ini penting untuk memberi pengajaran kepada calon-calon pilihan raya lain agar tidak melanggar peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang dan Perlembagaan negara.

Jika ahli politik tidak menghormati undang-undang, bagaimana mereka mampu untuk memberi contoh yang baik kepada rakyat?

Leave a Reply