MASIH ADA CALON BERANI BERJANJI HARI INI MENANG, ESOK SELESAI MASALAH

By February 23, 2019 Editorials

GAMBAR/GOOGLE

Oleh SAMAD HUSSEIN

Kelakar ada, simpati pun ada bila tengok video calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali ketika berkempen.

Banyak juga rakaman video calon daripada parti Bersatu ini yang boleh ditonton berulang-ulang kali di media sosial.

“Dalam beberapa hari ini, saya sudah bertemu dengan penduduk. Banyak aduan dan keluhan tentang jalan raya yang sempit, yang berlubang, lampu jalan yang tidak bernyala, sampah sarap, pendatang asing.

“Jadi, dua hari bulan kita menang, tiga hari bulan saya selesaikan semua masalah. Saya akan usahakan.”

Begitulah antara kata-kata Aiman pada Khamis lalu ketika berkempen di Semenyih.

Video ini masih boleh dilihat di Facebook. Jangan lupa baca ruang komen.

Aduhailah Aiman. Kalau tak kisah sangat pun, dia kena sedar Semenyih tu dalam Selangor.

Pakatan berada di Selangor sejak 10 Mac 2008. Dah lebih 11 tahun Pakatan memerintah di Selangor dan hampir 9 bulan pula Allahyarham bapa mertuanya dipilih menjadi ADUN di situ oleh rakyat.

Takkanlah Aiman nak beritahu kerajaan Selangor Pakatan Harapan dan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan tak buat apa-apa sejak berjaya merebut Semenyih daripada BN. Tak mungkinlah kan?

Aiman kena faham. Sejak 9 Mei 2018 atau lebih tepat sejak Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu sejak Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, pengundi sudah tidak lagi percaya dengan janji-janji yang ditabur ahli politik ketika pilihan raya.

Pengundi masih ingat janji tol nak dihapuskan sebelum PRU-13 dan PRU-14 oleh ahli politik Pakatan.

Sampai sekarang tol masih tegak berdiri. Janji nak hapuskan PTPTN dan beri pendidikan percuma.

Sampai sekarang mahasiswa masih kena bayar pinjaman pendidikan.

Ada yang kata harga petrol boleh turun sehingga RM1.50 sampai sekarang harga minyak masih naik turun, naik turun.

Hari ini dah kembali melebihi RM2.00. Sekejap sahaja rakyat dapat rasa nikmat harga minyak bawah RM2.00!

Aiman perlu sedar, sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad cakap manifesto itu bukan bukan kitab suci, sejak itu rakyat hilang keyakinan dengan janji-janji orang politik masa pilihan raya.

Calon PH bagi PRK Cameron Highlands, M. Manogaran yang kalah tiga kali berturut-turut dan masih belum didakwa di mahkamah kerana melanggar peraturan Akta Pilihan Raya sebab pakai baju berlogo parti di pusat mengundi pun tak berani nak tabur janji pada rakyat masa pilihan raya kecil lalu.

Mungkin calon parti DAP itu sedar, kalau dia menabur janji itu ini kepada pengundi semasa kempen pilihan raya hari itu, sia-saia sahaja dia ditertawa dan dicemuh rakyat! Sekarang pun rakyat sudah tertanya-tanya bilalah Manogaran nak didakwa atas kesalahan yang dia lakukan hari tu.

Hari ini Berita Harian Online melaporkan Aiman tak terkesan dengan troll netizen mengenai kesilapan berjanji menyelesaikan masalah penduduk sehari selepas menang.

“Saya tidak terkesan. Itu adalah janji saya untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh demi penduduk Semenyih.

“Itu juga nak menunjukkan semangat saya. Apabila saya menang nanti, hari seterusnya saya akan turun bantu rakyat, tolong mereka selesaikan masalah di Semenyih. Itu maksud janji saya,” kata Aiman.

Baguslah. Tak payah dengar sangat troll netizen tu, mereka pun bukan pengundi Semenyih. Harap-harap pengundi di Semenyih tak adalah Facebook, Twitter, media sosial yang lain. Bukan apa takut pengundi Semenyih terpengaruh pula dengan sindiran dan kecaman netizen. Kalau tak susut pula undi untuk Aiman.

Payah nak jadi calon Yang Berhormat sekarang. Nak janji itu ini pun dah tak boleh. Pengundi sudah hilang kepercayaan. Mereka rasa ditipu. Susah tau nak pulihkan semula kepercayaan mereka. Sekarang siapa yang susah?

Leave a Reply