TOL HAPUS DI SELURUH NEGARA JIKA PH KALAH DI SEMENYIH, RANTAU?

By February 24, 2019 Editorials

GAMBAR/GOOGLE

Oleh SAMAD HUSSEIN

Genap tujuh hari lagi Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih akan berlangsung iaitu pada Sabtu depan, semalam, Kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan “CADANGAN’ untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Kelang yang dikendalikan oleh syarikat Gamuda Berhad.

Pengumuman yang dilakukan oleh Pejabat Perdana Menteri sebelum pukul 12 tengah malam itu bagi menggantikan kaedah kutipan tol sedia ada kepada kaedah baharu dengan kadar yang lebih rendah.

Empat lebuh raya yang terlibat adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

‘Congestion charge’ (caj kesesakan) akan diperkenalkan di mana pengguna lebuh raya dikenakan bayaran caj kesesakan ketika waktu puncak selama enam jam sehari.

Kadar tol dihapuskan pada waktu “off-peak” antara jam 11 malam sehingga 5 pagi dan pengguna akan menikmati diskaun 30 peratus bagi penggunaan waktu biasa.

Selepas sembilan bulan berkuasa dan selepas kalah di PRK Cameron Highlands dan ketika kempen pilihan raya sedang rancak berlangsung di Semenyih, tiba-tiba Pakatan Harapan mengumumkan CADANGAN pengambilalihan empat tol di Lembah Kelang.

Lebih menarik pengumuman itu dilakukan selepas beberapa jam bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan di Facebook bahawa dia terpaksa membayar tol untuk keluar dari Semenyih.

“Lalu tol tadi masa ke Semenyih. Masuk percuma. Tapi keluar kena bayar RM2.10. Boleh claim balik dari PH ke macam mana ini?” tanya Najib.

Penganalisa politik menyatakan ketika ini calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali berhadapan situaisi sukar di PRK Semenyih dan calon daripada Bersatu itu diramal akan menempah kekalahan di tangan Barisan Nasional.

Utusan Online melaporkan, Pensyarah Sains Politik UKM, Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, walaupun penyandang kerusi DUN Semenyih adalah ahli Bersatu namun faktor itu bukan lagi kelebihan untuk PH meraih kemenangan.

“Saya tidak nampak PH boleh memberikan imej parti yang kuat, tidak nampak sokongan yang kuat di peringkat akar umbi. Saya tidak nampak imej PH yang baik untuk dipertahankan di PRK DUN Semenyih ini.

“Kalau imej perpaduan lagi kelam kabut, kepercayaan kepada parti tidak ada. PH tidak ada isu besar yang hendak diangkat di Semenyih melainkan isu 1MDB, RM90 juta dan mengungkit kesilapan kerajaan lepas,” katanya.

Adakah pengumuman kerajaan untuk mengambil alih konsesi empat tol tersebut menandakan Pakatan Harapan kini dalam keadaan yang amat terdesak untuk memenangi semula hati pengundi yang dilukai sejak mereka berkuasa sembilan bulan lalu?

Rakyat ketika ini berasa mereka ditipu kerana antara janji Pakatan Harapan sebelum PRU-14 adalah untuk menghapuskan tol sekiranya menang dan mengambil alih pentadbiran negara daripada Barisan Nasional.

Sebelum ini, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim memberi formula untuk Pakatan Harapan menang di Semenyih, antaranya kerajaan perlu menutup satu tol di Semenyih.

Cadangan itu dikemukakan kepada Pakatan Harapan berikutan kekalahan memalukan parti itu pada PRK Parlimen Cameron Highlands.

“Mungkir janji orang tak suka, orang tak pilih kita. Pimpinan atasan PH tentu lebih daripada faham kenapa kalah di Cameron Highlands.

“Tutup satu tol, kurangkan harga minyak untuk motoris Malaysia. Tunai janji Felda pra-Mei 2018. Buat stok penimbal beras, tepung, minyak masak, susu anak. Semenyih menang,” kata Rais dalam Twitter.

Kesanggupan kerajaan kini untuk mengambil alih tol dan menghapuskan tol di luar waktu punca menggambarkan betapa mereka amat tertekan untuk meraih kemenangan di Semenyih.

Namun pengundi perlu membaca semula pengumuman pengambilalihan konsesi tol tersebut dengan teliti terutama perkataan “MEMULAKAN RUNDINGAN” dan “CADANGAN” yang ditulis dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri itu.

“Sebagai langkah pertama, kerajaan telah MEMULAKAN RUNDINGAN dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya di mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.

“Lain-lain perincian berkenaan CADANGAN ini akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada masa yang sesuai”. Pada tahap ini yang berlaku hanyalah rundingan dan cadangan. Tidak lebih dari itu.

Dalam hal ini pengundi Semenyih mungkin perlu mempelajari kebijaksanaan yang ditunjukkan pengundi warga emas di Cameron Highlands, Rahana Hassan, 76, yang meminta ‘surat lawyer’ daripada calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Cameron Higlands, M. Manogaran ketika mengucapkan kata-kata manis kepada beliau.

“Harapan tak Harapan mak cik tak tahu, kalau buat surat ‘lawyer’ boleh, janji, kalau cakap mulut sahaja mak cik tak percaya,” katanya menerusi video berdurasi 20 saat yang difahamkan dirakam oleh juruvideo portal Malaysia Gazette.

Pengundi Semenyih dan Rantau mempunyai peluang untuk menjadi game changer dalam permainan politik Malaysia.

Siapa tahu dengan menghadiahkan kekalahan buat Pakatan Harapan di Semenyih dan Rantau dengan jumlah undi yang amat memalukan boleh membuatkan PH menunaikan janji untuk menghapuskan tol di seluruh negara.

Malah Pakatan Harapan juga mungkin akan menurunkan harga minyak sehingga RM1.50 seliter dan menghapuskan PTPTN sekaligus menyediakan pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti seperti yang mereka perjuangkan ketika kempen PRU-13 dan PRU-14.

Leave a Reply