BUKAN SAHAJA BERSEJARAH UNTUK UMNO, PAS TETAPI KEPADA RAKYAT MALAYSIA

By March 5, 2019 Editorials

Pertemuan bersejarah UMNO dan Pas di Menara Dato’ Onn.

Oleh SAMAD HUSSEIN

Mungkin ada orang-orang Islam dan Melayu menangis hari ini. Bukan mengeluarkan air mata kesedihan tetapi menitiskan air mata kegembiraan dan terharu.

Buat pertama kalinya sejak UMNO dan Pas ditubuhkan, kedua-dua parti terbesar yang mewakili orang Melayu dan umat Islam itu, yang telah bercakaran sejak berpuluh-puluh tahun, hari ini mengadakan pertemuan yang dianggap sebagai langkah permulaan rasmi bagi penyatuan ummah di Malaysia.

Secara simbolik mereka mengadakan perjumpaan di Menara Dato’ Onn yang dinamakan sempena pengasas parti UMNO itu.

Bangunan setinggi 40 tingkat dan terletak di Jalan Tun Ismail itu merupakan ibu pejabat UMNO yang selama ini digelar sebagai parti keramat orang Melayu.

Menara Dato’ Onn menjadi saksi bahawa persaudaraan Islam-Melayu yang terpisah dan bermusuhan sejak kelahiran Pas pada 1951 kerana memperjuangkan agenda dan falsafah politik masing-masing, mulai bercantum dan bersatu bagi menghadapi gelora ‘Malaysia Baru’.

Selama Pas ditubuhkan tidak pernah seorang pun pemimpinnya menjejakkan kaki ke bangunan yang terletak bersebelahan dengan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu.

Namun kira-kira pukul 3 petang tadi pimpinan kedua-dua parti Melayu-Islam itu bertemu buat secara rasmi bagi membincangkan hala tuju dan garis panduan kerjasama dua parti terbesar mewakili masyarakat majoriti Malaysia.

Selaku tuan rumah, Timbalan Presidan UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyambut mesra ketibaan kepimpinan Pas yang diketuai Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau diiringi Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed; Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zohadi Marzuki dan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Di pihak tuan rumah pula, turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad.

“Ini merupakan pertemuan yang amat bersejarah untuk meneroka garis-garis besar haluan penyatuan Ummah yang bukan sahaja dituntut Islam bahkan didambakan oleh seluruh rakyat terutamanya orang Melayu-Islam.

“Bagi bukan Islam apa sahaja yang dipersetujui dan direncanakan atas asas penyatuan ummah ini tidak akan sesekali meminggirkan mahupun meremehkan realiti kemajmukan Malaysia yang berbilang agama dan kaum diterasi Islam sebagai Agama Persekutuan dan Melayu sebagai bangsa teras.

“Moga Allah rahmati dan berkati niat suci kami ini. Tolong doakan ya!” tulis Asyraf Dasuki dalam Facebook beliau selepas pertemuan itu.

Kerjasama utuh UMNO di bawah lambang Barisan Nasional dan Pas dalam dua pilihan raya kecil iaitu di Cameron Highlands dan Semenyih sehingga meraih kemenangan luar biasa dan luar jangkaan membuktikan penyatuan UMNO-BN dan Pas boleh memberikan tentangan yang maha hebat terhadap PH-DAP.

Inilah yang ditakuti oleh kepimpinan PH-DAP.

BN-UMNO-Pas telahpun menemui cara dan jalan untuk menewaskan PH-DAP.

Jika BN-UMNO-Pas meneruskan kerjasama sehingga PRU-15, tidak was-was PH-DAP akan menjadi ‘kerajaan sepenggal’.

Dalam dunia ciptaan ‘Malaysia Baru’, kerjasama BN-UMNO dan Pas tidak akan mudah.

Kuasa ada di tangan PH-DAP. Gelombang dan cabaran besar pasti akan melanda.

BN-UMNO-Pas perlu bertahan!

Rakyat sangat berharap mereka merampas semula Malaysia, sekaligus membawa semula negara ini kearah yang diimpikan oleh leluhur kaum-kaum yang telah menubuhkan negara yang bertuah ini.

Leave a Reply