MENTERI BESAR JOHOR DAN MENTERI ALAM SEKITAR PERLU UMUM TAHAP HIDROGEN SIANIDA 5 KM DARI GROUND ZERO BUKAN HANYA DI TEMPAT BUANGAN TOKSIK

By March 20, 2019 Editorials

GAMBAR/GOOGLE

Oleh: ISHAM JALIL

Tadi Menteri Besar Johor Osman Sapian dan Menteri Alam Sekitar Yeo Bee Yin telah melawat ke tapak pembuangan sisa toksik di Sungai Kim-kim, Pasir Gudang.

Menteri Besar mengatakan bahawa berdasarkan pemeriksaan, bacaan sisa kimia beracun yang boleh membunuh iaitu Hidrogen Sianida di tapak tersebut adalah sifar.

Namun demikian, bagaimana pula bacaan sisa kimia beracun di hiliran sungai di mana air sungai telah mengalir membawa sisa bahan kimia beracun ini dari tapak pembuangan selama 2 minggu sebelum ini?

Dan bagaimana pula bacaan di kawasan sekitaran dan berdekatan?

Kawasan yang terkesan dipengaruhi juga oleh faktor cuaca iaitu hujan dan angin:

Dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini terdapat beberapa kitaran hari panas diikuti dengan hujan di kawasan tersebut yang mana penyejatan bahan kimia telah berlaku dari sungai ke udara diikuti dengan hujan kimia di kawasan tersebut dan yang berdekatan.

Saya telah pergi ke zon panas Pasir Gudang tersebut semalam dan saya sendiri masih boleh menghidu bau sesuatu yang pelik dalam udara di situ walaupun dengan memakai topeng muka.

Seorang dari sukarelawan saya di sana telah dirawat di Stadium Pasir Gudang kerana hampir pengsan setelah hanya sejam berada di kawasan tersebut.

Seorang lagi telah muntah-muntah setelah dua jam berada di lapangan.

Kedua-dua mereka memakai topeng muka R95 dan N95.

Menteri Besar Johor apabila ditanya sama ada bahan kimia ini telah sampai ke laut (perairan sempadan Singapura), beliau dengan yakin berkata tidak.

Namun demikian, air Sungai Kim-kim telah mengalir dari tempat kejadian ke laut hanya 5 km ke Tenggara tempat kejadian dan ke perairan sempadan melalui kawasan perumahan penduduk hanya 2 km dari tempat kejadian.

Jika kelajuan air sungai ialah 1 meter sesaat, ianya hanya memakan masa 2 hari untuk sisa kimia itu sampai ke kawasan perumahan dan 4 hari untuk sampai ke laut.

Bahan kimia ini telah ditumpahkan di Sungai Kim-kim dua minggu lalu.

Oleh itu apa yang dikatakan oleh Menteri Besar dengan yakin itu bahawa sisa kimia ini tidak sampai ke laut adalah tidak masuk akal.

Dan saya juga telah dimaklumkan oleh penduduk di sana bahawa bau pelik di udara telah dihidu oleh penduduk tempatan dan mereka telah mengadu simptom kesan gas sejauh 5 km ke Barat tempat kejadian.

Mengikut laporan kajicuaca, arah angin telah bertiup dari arah Timur ke Barat selaju 17 km/jam sejak dua minggu lalu.

Oleh itu kemungkinan besar air sungai telah membawa sisa toksik beracun ini 5 km ke Timur dan Tenggara dan ke sempadan laut, manakala angin dan hujan telah membawanya 5 km ke Barat ke kawasan penduduk.

Memandangkan sisa toksik dan gas beracun telah dibiarkan di tempat pembuangan Sungai Kim-kim tersebut hampir dua minggu sebelum tindakan serius dan pembersihan diambil oleh Kerajaan, adalah tidak mustahil malah lebih masuk akal bahawa radius kesan gas ini telah membesar ke kawasan yang lebih luas iaitu 5-10 km radius berbanding hanya di kawasan pembuangan toksik tersebut.

Oleh itu saya menyarankan supaya Kerajaan dan Menteri Besar Johor mengambil bacaan dan mengumumkan kepada umum tahap pencemaran toksik air dan udara bukan sahaja di tempat pembuangan sisa toksik tersebut, malah di beberapa kawasan dalam radius sejauh 5 ke 10 km dari tempat kejadian.

Ini untuk lebih meyakinkan rakyat terhadap tahap keselamatan di kawasan terbabit dan berdekatan dan supaya tindakan pantas dan proakrif dapat diambil sekiranya radius kesan gas beracun ini telah merebak ke kawasan yang lebih besar, dan bukan hanya menunggu orang jatuh sakit di kawasan yang lebih jauh sebelum mengambil tindakan.

ISHAM JALIL
Presiden SUKARELAWAN MALAYSIA
20 Mac 2019

MENTERI BESAR JOHOR DAN MENTERI ALAM SEKITAR PERLU UMUM TAHAP HIDROGEN SIANIDA 5 KM DARI GROUND ZERO BUKAN HANYA DI…

Posted by Isham Jalil on Tuesday, March 19, 2019

Leave a Reply