SEBAB SEBENAR TUN MAHATHIR DAN KERAJAAN PH MENARIK DIRI DARI STATUT ROM

By April 9, 2019 Editorials

GAMBAR/GOOGLE

Oleh: ISHAM JALIL

Kelmarin Tun Mahathir berkata bahawa kerajaan terpaksa menarik diri daripada perjanjian Statut Rom kerana rakyat keliru dengan perjanjian ini.

Katanya, ini disebabkan oleh pihak-pihak tertentu yang telah menghasut rakyat (dari pembangkang dan lain-lain).

Alasan Tun Mahathir ini amatlah lemah dan menjengkelkan.

Saya ingin bertanya kepada Tun Mahathir, sejak bila beliau atau Kerajaan pernah membatalkan sesuatu dasar atau keputusan dengan sebab rakyat keliru?

Jika beliau rasa rakyat keliru tetapi beliau dan Kabinet beliau yakin dengan Statut Rom ini, maka berilah penerangan kepada rakyat seperti kebiasaannya yang menjadi tugas dan tanggungjawab pemimpin-pemimpin kerajaan dan menteri-menteri.

Tambahan lagi Statut Rom ini baru sahaja ditandatangani tidak sampai dua bulan lepas dan masih ramai rakyat yang belum tahu secara terperinci berkenaannya.

Oleh itu alasan yang diberikan oleh Tun Mahathir apabila menarik diri dari Statut Rom tersebut adalah tidak benar, tidak masuk akal dan tidak boleh diterima.

Pada hemat saya apa yang sebenarnya berlaku ialah beliau dan menteri-menteri Kabinet beliau pun sebenarnya tidak yakin dan tidak bersetuju dengan Statut Rom ini kerana ia memberi kesan negatif kepada kedaulatan negara.

Ini kerana setelah mendapat nasihat daripada pakar-pakar Perlembagaan dan lain-lain, mereka mendapati bahawa sepatutnya sebelum menandatangani dan meratifikasi Statut Rom ini Perlembagaan perlu dipinda dan Majlis Raja-raja Melayu perlu dirujuk.

Oleh itu tindakan mereka menandatangani Statut Rom ini tanpa membawa ke Parlimen untuk meminda Perlembagaan dan tanpa merujuk kepada Majlis Raja Melayu serta membelakangi Yang Dipertuan Agong adalah suatu tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan dan juga satu pengkhianatan kepada Yang Dipertuan Agong dan Negara, oleh itu tindakan Undang-undang boleh diambil ke atas mereka kerana salah guna kuasa.

Jika perkara ini tersebar kepada umum, maka bukan sahaja mereka boleh didapati bersalah dan dihukum di bawah Undang-undang Negara, maka rakyat dan institusi Raja-raja Melayu juga akan “menghukum” mereka.

Inilah yang Tun Mahathir dan pemimpin-pemimpin PH ini takut. Sebab mereka tahu yang mereka telah melakukan kesalahan.

Dan kesalahan ini adalah kritikal dan besar yang terjadi akibat keangkuhan mereka sendiri yang sanggup menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing tanpa segan silu atau rasa malu.

Mereka tidak boleh lagi menyalahkan orang lain. Rakyat tidak akan percaya. Mereka perlu mengaku dan menyalahkan diri mereka sendiri.

Namun nampaknya mereka masih angkuh dan tidak mahu mengaku salah malah masih menyalahkan orang lain. Maka mereka tidak akan belajar dari kesilapan ini, dan kesalahan-kesalahan seperti ini tentunya akan berlaku lagi.

Rakyat dan negara yang akan rugi dengan kerajaan dan pemimpin-pemimpin kerajaan yang sebegini.

Aset-aset negara sedang dijual oleh Kerajaan PH. Kini maruah dan kedaulatan Negara pun ingin digadaikan oleh mereka.

Sebab itu kita perlu tentang mereka ini.

 

SEBAB SEBENAR TUN MAHATHIR DAN KERAJAAN PH MENARIK DIRI DARI STATUT ROMOleh: ISHAM JALILKelmarin Tun Mahathir…

Posted by Isham Jalil on Monday, April 8, 2019

Leave a Reply