MENGENANG TUN RAZAK DI ULANGTAHUN KELAHIRAN MALAYSIA

By September 16, 2019 Editorials

Oleh THE WOUNDED TIGER

1. Tarikh 16 September akan dikenang dalam lipatan sejarah tanah air sebagai tarikh yang begitu bermakna kepada wujudnya gagasan yang merapatkan kaum yang begitu pelbagai. Dengan penubuhan gagasan ini maka lahirlah sebuah negara baru bernama Malaysia.

2. Antara tokoh yang paling besar pengorbanannya dalam penubuhan ini adalah Tun Abdul Razak Hussein iaitu Timbalan Perdana Menteri ketika itu yang merupakan ayah kepada Datuk Seri Najib. Tun Abdul Razak juga merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

3. Begitu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh Tun Razak terhadap kemajuan bangsa negara ini. Antara kejayaan Tun Razak yang paling besar ialah penubuhan FELDA, Felcra, MARA dan Petronas. Tidak lupa juga pengenalan Dasar Ekonomi Baru bertujuan membasmi kemiskinan dan menyusun semula jurang antara masyarakat dari sudut ekonomi.

4. Tun Abdul Razak memacu negara ini ke arah kemajuan dan pemodenan tanpa perlu didendang. Beliau juga seorang ahli politik yang begitu sayangkan perpaduan Melayu. Malahan UMNO dan PAS pernah bergabung buat pertama kali dalam sebuah kerajaan atas usaha dan pemerintahan beliau. Sayang sekali ia dirosakkan oleh beberapa orang politkus yang tidak mempunyai visi sebesar dan seikhlas beliau.

5. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu sedar akan sejarah dan jangan terpedaya dengan dakyah dan fitnah. Jika hendak dibandingkan kejayaan Tun Abdul Razak dan Tun Mahathir, jelas kejayaan Tun Abdul Razak jauh lebih kehadapan dan mengatasi zamannya. Namun kita dibuai dengan pembinaan bangunan gah dan seumpamanya. Kita suka melihat sesuatu dari sudut fizikal daripada melihat kejayaannya kepada kehidupan.

6. Dosa kita yang terbesar kepada pengorbanan Tun Abdul Razak ialah dengan mempercayai fitnah terhadap anak dan cucu cucunya yang tidak berdosa. Inikah balasan kita terhadap seorang negarawan yang telah banyak membawa kemajuan kepada bangsanya? Kita telah bertindak melulu tanpa usul periksa.

7. Marilah kita jayakan wawasan Tun Abdul Razak dengan kembali kepada perpaduan bangsa dan menolak pemimpin yang lebih banyak memecahbelahkan kita dengan menabur fitnah dan menyalakan api kebencian terhadap kita sebangsa. Malahan kerana kasih dan sayang Tun Razak kepada bangsanya, beliau tidak pernah melabelkan bangsanya sebagai pemalas atau lemah. Malahan beliau begitu percaya dan bangga dengan kegigihan bangsa Melayu.

8. Marilah kita doakan agar roh Allahyarham Abdul Razak Hussein dan para pemimpin terdahulu dilindungi dan ditempatkan bersama sama mereka yang dikasihi oleh Allah. Marilah kita doakan juga agar Datuk Seri Najib dan keluarga dilindungi Allah dan diberikan perlindungan daripada khianat yang berpanjangan.

Yang benar tetap benar dan yang bathil tetap bathil.

Leave a Reply