About Anina Saadudin

anina saadudin blog

“In war, you can only be killed once, but in politics, many times” – Winston Churchill

Anina Saadudin – saya wanita yang multi-tasking. Saya seorang ibu, penulis, pemerhati politik dan juga seorang aktivis politik nasionalis yang landasan perjuangannya adalah berteraskan Melayu dan Islam.

Catatan mahupun coretan saya adalah daripada hemat dan perspektif saya. Hasil penulisan saya serta pandangan yang dizahirkan di blog ini banyak dibentuk dari zaman kanak-kanak sehinggalah mengenali apa erti sebuah kehidupan.

Kembara hidup yang berliku dan penuh dengan warna-warni menjadikan saya, siapa saya pada hari ini. Tidak dilahirkan dalam kalangan keluarga bergelar atau mewah, kehidupan yang bermula di pulau legenda, Mahsuri (Pulau Langkawi) membuka mata saya dengan luas untuk menimba ilmu biar penuh di dalam dada.

Kecil-kecil cili padi, walaupun saya bertubuh kecil (la ni tidak la kecil manapun), saya menongkah arus kekampungan, melangkah jauh ke ibu kota Kuala Lumpur untuk menimba ilmu.

Keluar dari kepompong kemiskinan, saya harus berjiwa besar dan di kota metropolitan inilah saya pernah memulakan kehidupan sebagai seorang pelajar dan merasai kemanisan menjadi tenaga pengajar.

Melangkah ke dunia politik amat menuntut pengorbanan yang tidak mampu diukur dengan wang ringgit. Ya, negara ini harus dibangunkan dengan suara-suara rasional dan laungan kebenaran. Maka krisis politik tahun 2015 telah menarik saya keluar dari alam akademik untuk menjadi seorang aktivis politik sepenuh masa

Meniti di jalan sebagai aktivis politik bukan sahaja tidak mudah tetapi tidak juga keterlaluan jika saya katakan, saya umpama berjalan di atas mata pedang. Menitis darah dek tajamnya mata pedang, dibalut atau ditampal dengan plaster, yang tinggal tetap parutnya. Terasa diri ini hanya berguna kepada pimpinan apabila kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Dinyah apabila tidak sealiran pemikiran dengan mereka.

Saya diangkat sebagai “anak emas” kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila dengan lantangnya, suara seorang wanita bertubuh halus ini mengkritik secara terbuka Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia ke-6, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak. Dalam kelantangan saya bersuara, dalam bergemuruh darah saya di dalam tubuh menyuarakan apa yang saya rasakan tidak betul dan tidak benar, natijahnya saya dipecat dari UMNO kerana saya menyaman Dato’ Seri Najib Tun Razak yang berkaitan dengan isu wang derma politik berjumlah RM2.6 bilion.

Habis manis sepah dibuang. Saya kemudiannya menjadi “si tanggang” kepada Tun Dr. Mahathir apabila menyedari dan menyatakan isu RM2.6 bilion ini satu konspirasi besar untuk menjatuhkan Najib Razak dan parti keramat orang-orang Melayu iaitu UMNO.

Di saat menyaksikan betapa besarnya agenda dan konspirasi telah menjatuhkan UMNO -parti nasionalis Melayu dan Islam yang banyak berjasa kepada semua kaum, saya ambil keputusan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO), Empirical Malaysia.

Di sini akan bermula satu perjuangan baru untuk menegakkan yang hak dan mendedahkan yang batil atas nama kemerdekaan yang kita capai sejak 31 Ogos 1957.

Perjuangan hari ini bukan hanya untuk diri kita sendiri, tetapi demi ketentuan nasib dan masa hadapan anak-anak bangsa kita. Jangan sampai orang kita melukut di tepi gantang. Jangan sampai anak-anak ludah di kubur kita nanti.